Saturday, 29 April 2017

Aku , telekong dan mesin

Aku nekad untuk berhenti kerja tetapi aku perlu lakukan sesuatu dirumah selain menguruskan persekolahan anak-anak dan urusan rumahtangga yang lain. Aku membesar dan menjalani kehidupanku secara berdikari sedari kecil. Lalu apa yang bakal aku lakukan nanti dirumah? Kuserahkan pada Allah, kumohon petunjuk dariNya..alhamdulillah bayangan demi bayangan membawa aku terarah untuk belajar menjahit. Namun apa yang aku hendak jahit? Lantas aku teringat kawanku Noriah yang tinggal di Senawang berhenti kerja dan menjahit telekong. Dari situ datang satu rasa ingin menjahit telekong kanak-kanak dan aku terbayangkan pelbagai projek kanak-kanak dalam mindaku.

Lantas aku menghubungi Noriah meminta dia mengajarkan aku asas menjahit telekong. Allah permudahkan urusanku dari urusan membeli tiket kapal terbang pergi balik pada harga yang murah, kemudian aku sepatutnya mengambil komuter untuk ke Senawang namun seorang lagi kawan baikku kak Norhayati ingin menyertaiku belajar asas telekong bersama Noriah lalu dia yang menjemputku di Lapangan Terbang dan bersama ke sana. Sebelum itu diatas kapal terbang aku ditakdirkan duduk di sebelah seorang mutawif, seorang ustazah yang selalu mengajar dimasjid persekitaranku. Sepanjang perjalanan 45 minit Terengganu ke KL aku mendapat banyak nasihat dan ilmu dari mutawif tersebut.

Setibanya di KLIA2, kak Norhayati menjemputku dan menuju ke rumah Noriah di Senawang. Setibanya disana kami pun memulakan sessi pembelajaran dan buat pertama kalinya aku belajar mengenal mesin jahit. Memang aku tidak berpengalaman! Dunia jahitan langsung tidak pernah terlintas dalam kamus hidupku namun itulah aturan Allah yang terbaik untuk hambanya. Aku hanya sempat belajar asas memotong kain, cara menjahit beberapa bahagian dan bakinya adalah sebagai kerja rumah ku nanti kerana aku harus cepat mengejar penerbangan balik ke Terengganu pada malam itu. Sebelum balik, kami meminta cadangan jenis-jenis mesin yang sesuai dan mula menyertai kumpulan-kumpulan jahit di laman muka buku.

Sepulangnya aku ke Terengganu, aku tidak berlengah lagi, aku terus menghubungi beberapa pembekal mesin untuk mendapatkan harga yang berpatutan. Alhamdulillah seminggu kemudiannya mesinku tiba dan aku masih tidak begitu bersedia untuk memulakan namun aku menggali ilmu , mencari idea dan membaca pengalaman-pengalaman tukang jahit dan krafter secara online. Aku makin tertarik dan aku mula membuka kotak mesinku untuk sessi pengenalan...

No comments:

Post a Comment